Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:
Apabila dibacakan iqamat sembahyang, janganlah kamu semua
tergesa-gesa pergi untuk menunaikan sembahyang, tetapi hendaklah
berjalan dengan baik dan tertib, hendaklah kamu semua bersifat tenang.
Tunaikanlah sembahyang mengikut rakaat yang kamu sempat mengikuti imam
dan apabila imam memberi salam, maka hendaklah kamu menyempurnakan
mana-mana rakaat yang tertinggal.
Huraian Hadith:
1. Apabila iqamat sembahyang dibacakan, janganlah
kita tergesa-gesa (berlari-lari anak) ke masjid, tetapi hendaklah
berjalan dengan tenang dan sopan.
2. Jika terlambat sedikit, ikutilah sembahyang berjamaah bersama imam dengan mengikut rakaat yang sempat.
3. Hikmah bersifat tenang dan tidak tergopoh-gapah adalah untuk memberi keselesaan semasa sembahyang iaitu agar sembahyang yang dikerjakan tidak dalam keadaan tercungap-cungap sehingga bacaan menjadi tidak sempurna.
4. Semasa mengerjakan sembahyang, kita bukan sahaja dikehendaki mementingkan suasana yang tenang tetapi jiwa dan fizikal juga mesti tenang agar sembahyang dapat dilakukan dengan penuh khusyuk dan tawaddhuk.
Daripada riwayat al-Bukhari & Muslim

Tiada ulasan:
Catat Ulasan