Selasa, 9 Julai 2013

Mendapat Pahala Puasa Yang Sempurna



Bagaimana caranya untuk mendapat pahala puasa yang sempurna?

Nabi s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya; “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa puasa yang sebenar bukanlah hanya puasa zahir sahaja (iaitu dengan menegah diri dari makan, minum, bersetubuh dan sebagainya) tetapi juga berpuasa batin iaitu dengan menegah diri dari maksiat dan dosa. Seorang yang berpuasa di samping menjaga diri dari makan, minum dan sebagainya, ia juga mesti menjaga anggota-anggotanya dari dosa dan maksiat. Jika tidak ia tidak akan mencapai kesempurnaan puasa sebagaimana yang dikehendaki Allah.

Bagi menjelaskan lagi tuntutan puasa batin ini, Imam al-Ghazali membahagikan darjat puasa manusia kepada tiga bahagian;

1. Puasa umum: iaitu berpuasa dengan menahan perut dan faraj (kemaluan) dari menikmati keinginannya (makan, minum dan sebagainya).

2. Puasa khusus: iaitu berpuasa yang disertakan dengan menjaga pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota dari melakukan yang haram atau dosa.

3. Puasa khususul khusus (paling khusus): iaitu berpuasa dengan menyertakan semua yang tersebut di atas dan menambah lagi dengan berpuasa hati dari segala cita-cita yang kotor dan pemikiran-pemikiran keduniaan dan memesongkan perhatian dari selain Allah sama sekali.

Matlamat Puasa Di Bulan Ramadan




Matlamat Puasa


"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, moga kamu menjadi orang yang TAQWA." 
(Al Baqarah: 183)
 


Matlamat puasa ialah TAQWA.
1.         Erti taqwa secara mudah ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat. Melaksanakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan Allah.

2.         Taqwa itu berkaitan dengan sikap kepatuhan seseorang terhadap perintah Allah dan RasulNya, baik perintah itu berupa suruhan atau larangan.



3.         Secara ringkas orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada semua perintah Allah.


Allah berfirman maksudnya "Yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling taqwa." (Al-Hujurat : 13)


4.         Menurut Imam al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim membawa tiga makna:

- Pertama, bermakna takut, gerun atau ngeri (haybah). Antara firman Allah Taala yang tersisip kalimah takwa yang membawa makna tersebut ialah:

Dan bertakwalah (takutilah) suatu hari yang kamu akan dikembalikan kepada Allah. (2 : 281)

- Kedua, bermakna taat. Contohnya seperti yang terdapat dalam firman Allah yang maksudnya:

Hai sekalian orang yang beriman, bertakwalah (taatlah) kepada Allah dengan sebenar-benar takwa (taat). (3 : 102)

- Ketiga, mengandungi maksud menyucikan hati daripada dosa. Contohnya dalam firman Allah yang mafhumnya:

Dan sesiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, maka mereka itulah orang-orang yang beroleh kemenangan. (24 : 52)


Kalimah "bertakwa" dalam ayat terakhir di atas bukan lagi bermakna taat atau takut kerana kalimah-kalimah "taat" dan "takut" telah disebutkan sebelumnya dalam ayat di atas. Jadi "bertakwa" dalam ayat di atas bermaksud, menyucikan hati daripada dosa. Makna yang ketiga inilah merupakan takrif kepada istilah takwa. Mengikut para ulamak: "Takwa itu ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat".

Imam al-Ghazali membuat kesimpulan : Bahawa takwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidapi penyakit. Ada pun berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama pula ialah "bertakwa".

Erti taqwa secara ringkas ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat.